Kid


Kid. Bukanlah satu perkataan English, dan juga bukan seorang watak didalam kartun, dan juga bukan jenama pakaian kanak-kanak. Kid ialah nama. Nama bagi seekor kucing saya. Yang kini sudah tiada. Mungkin sudah pergi untuk selamanya atau mungkin sudah hilang entah kemana-mana. Walau dimana anda berada, diharapkan Kid sihat sentiasa.


Kid seekor kucing jantan yang sangat manja. Pantang nampak orang duduk mesti mahu dipangku dan dibelai sehingga Kid tertidur. Kid akan setia menunggu didepan pintu bila tiba waktu makannya. Sedikit pun tidak berganjak. Kid kucing yang setia, bersih, dan pandai mengemas diri. Oleh sebab itu Kid tidak mempunyai kutu. Kid paling takut mandi. Mula la meraung dan mencengkam apa yang boleh dicengkam. Maaf Kid, ini semua adalah untuk menjaga bulu Kid supaya tidak banyak gugur. Kebiasaannya Kid akan dimandikan sebulan sekali. Kid ada meninggalkan seekor anak kucing diberi nama Demok sebelum pemergiannya. Demok adalah anak Comel dimana comel telah melahirkan tiga ekor anak. Kecik, Demok, dan Kid Jr. Tetapi Comel, Kecik dan Kid Jr telah pergi dahulu meninggalkan Kid dan Demok. Kid setia melayan karenah Demok yang masih menyusu. Jika Demok mencari susu, Kid hanya berduduk diam walaupun Kid tidak mempunyai susu. Demok tetap mencari susu diperut Kid biarpun sudah berkali-kali mencari. Sungguh sayu hati saya melihat gelagat Kid dan Demok. Dimana ada Kid, disitu ada Demok. Mereka tidur makan bersama. Bermain bersama hinggalah Kid juga pergi meninggalkan kami.


Beberapa minggu sebelum Kid tiada, Kid seakan tidak lalu makan, bulu-bulunya banyak yang gugur, dan kebanyakannya masanya hanya tidur lebih dari biasa. Mungkin itu adalah tanda-tanda Kid akan pergi meninggalkan kami. Dalam hati saya ada terasa Kid akan pergi tetapi saya sekeras-kerasnya menidakkan.

Satu pagi, seperti kebiasaannya, saya keluar rumah menunggu Kid. Kebiasaannya saya hanya memanggil dan Kid akan datang entah dari mana tetapi tidak pada pagi itu. Saya menunggu selama dua jam lebih tetapi Kid tidak datang juga. Saya menyedapkan hati bahawa Kid mungkin masih tidur lagi dimana-mana dan akan memanggil Kid semula pada tengah hari.


Pada tengah hari itu Kid tidak datang juga. Kebiasaannya Kid sudah tunggu didepan pintu untuk menunggu makanannya. Hanya ada Demok sahaja. Demok juga seakan-akan sedih. Seperti sesuatu telah terjadi terhadap Kid. Saya menunggu hingga lewat petang namun bayangan Kid tidak juga kelihatan.

Keesokan paginya saya tunggu juga seperti biasa. Mengharapkan Kid akan datang seperti biasa. Tetapi Kid tidak juga datang. Hati saya berkata mungkin Kid sesat dan sedang mencari jalan pulang. Pagi itu saya mencari Kid di belakang rumah, kebun-kebun, rumah jiran, di sepanjang jalan dan hampir serata tempat saya mencari namun tidak jumpa juga. Saya sedih keseorangan. Hati saya berkata, "Kalau Kid dah pergi pun, biarlah aku tanam kau.."

Sehingga hari ini, Kid masih lagi tidak pulang. Mungkin Kid sudah pergi untuk selamanya. Mungkin pemergianmu begitu sahaja dapat mengurangkan kesedihanku dan ada Demok sebagai penggantimu. Terima kasih kerana setia menjadi kucingku Kid. Terima Kasih dan Selamat Tinggal Kid


nota kaki: sayu bila buat post ni..huhu
nota kaki kanan: demok dh ad teman pengganti..mimi dan juga empat ekor anak kucing..hehe

Post a Comment

 

Copyright © 2012 ShazwanZahry | Powered by Blogger | Template by 54BLOGGER