Keracunan Makanan


Salam Ramadhan semua. Apa khabar readers? Masih berpuasakah anda? Puasa ye, jangan ponteng-ponteng. Alhamdulillah kita masih lagi dapat berpuasa dengan tenang di bulan Ramadhan yang barakah ini.

Baru-baru ini saya baru dapat berita sedih dari sahabat saya yang mengatakan anak saudara perempuannya, Nurdini telah meninggal dunia akibat dari keracunan makanan. Al-fatihah untuk arwah Nurdini dan salam takziah kepada keluarga Nurdini.


Utusan (+/-)

KLANG 9 Ogos - Seorang kanak-kanak perempuan meninggal dunia setelah muntah dan cirit-birit selepas 12 jam berbuka puasa, manakala keluarganya dimasukkan ke hospital selepas mengalami simptom yang sama.

Bapa mangsa Mohamad Ali Khir, 37, berkata, Nurdini, 11, dan keluarganya berbuka puasa dengan otak-otak serta air batu campur yang dibelinya di sebuah Bazar Ramadan berhampiran rumah mereka di Taman Seri Mewah, Fasa 2, Meru dekat sini, Ahad lepas.

"Kira-kira setengah jam selepas berbuka dengan juadah berkenaan, perut saya mula berasa tidak selesa, dan kira-kira sejam kemudian kami sekeluarga dan pembantu rumah mula muntah-muntah dan cirit-birit sehingga tidak larat untuk bangun ke bilik air," katanya kepada pemberita di Hospital Tengku Ampuan Rahimah hari ini.

Selain Nurdini, anggota keluarga Mohamad Khir yang mengalami simptom sama ialah isterinya, Noraliti Ramli, 37, empat lagi anak mereka iaitu Mohammad Syafiq, 14, Mohammad Irfan, 13, Mohammad Fitri, 8, dan Mohammad Hazimi, 3, serta pembantu rumah yang dikenali sebagai Pati.

Beliau berkata, Nurdini dijumpai terlentang di bilik air pada 6.10 pagi semalam dengan suara dengusan kuat seperti lembu disembelih, manakala mata mangsa terbeliak dan mulutnya berbuih.

Mohamad Ali kemudian membawa anak perempuan tunggalnya itu ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, dan sebaik tiba di situ, mangsa disahkan meninggal dunia.

Beliau berkata, sehingga kini, semua anggota keluarganya dirawat di hospital itu dan doktor belum mengenal pasti penyakit yang mereka hidapi.

Katanya, sejak awal Ramadan, Nurdini meminta untuk menikmati air batu campur serta otak-otak, namun beliau hanya berkesempatan membeli juadah berkenaan Ahad lepas.

Mohamad Ali berkata, jenazah Nurdini dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Meru di sini selepas waktu Zohor, petang semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Supritendan Mohamad Shukor Sulong ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu manakala pihak hospital tidak dapat dihubungi. - Bernama

Sedih saya apabila membaca berita ini. Niat untuk menunaikan hasrat si anak yang mahukan air batu campur dan otak-otak sebagai juadah berbuka berakhir dengan satu tragedi. Siapakah yang harus bertanggungjawab dalam hal ini?

Nasihat saya kepada readers, silalah berhati-hati semasa memilih juadah berbuka puasa di Bazaar Ramadhan. Janganlah kerana perut yang lapar kita lupa untuk mengambil sedikit masa untuk meneliti makanan yang akan dibeli. Di harapkan kejadian seperti ini tidak akan berulang lagi di masa akan datang.

Kepada mereka yang menjual makanan dan minuman di Bazaar Ramadhan, pastikan juadah berbuka yang anda jual bersih. Bayangkan jika ahli keluarga anda sendiri yang membeli makanan yang dikhuatiri 'kotor' dan berakhir dengan tragedi yang sama, menyesal pun sudah tiada gunanya lagi. Fikirlah soal orang lain dan jangan fikir keuntungan tanpa menghiraukan kesihatan orang lain.

nota kaki : ingat-ingatlah semasa membeli juadah berbuka puasa.
nota kai kanan : sudah 10 Ramadhan bermakna sudah diakhir fasa pertama di bulan Ramadhan.

Post a Comment

 

Copyright © 2012 ShazwanZahry | Powered by Blogger | Template by 54BLOGGER